Khamis, 30 Ogos 2007

Selamat Ulangtahun ka-50 !!!

Ejaan 'ka' itu saya tiru cara datuk saya menulis. Di rumahnya, tempat saya membesar dahulu, ada sebuah papan putih yang digantung di 'tempat mendarat' (landing) tangga yang bawah sekali. Di situ, Papa (gelarannya untuk dipanggil oleh cucu-cucu) akan menulis semua agendanya mengikut turutan tarikh. Dari jemputan kahwin, hinggalah ke penyertaannya di Jamboree Pengakap di Bangkok tahun lepas (kalau tak silap sayalah). Ya, Papa memang suka berjalan, dan saya sebagai cucunya yang seringkali dibawa sekali, kini sudah terikut-ikut jejaknya itu.

Papa sepatutnya mengikuti perbarisan sebagai sebahagian daripada wakil ahli UMNO veteran. Papa memang cukup teruja. Saya boleh bayangkan, Papa duduk di hadapan pintu rumah dan menggilap kasutnya sehingga berkilat. Papa akan segak dalam baju Melayu dan sampingnya. Papa adalah seorang yang sentiasa berketrampilan kemas, mungkin kerana dia adalah seorang bekas polis (polis pencen kita panggilnya bila dia terlalu banyak bertanya). Melainkan kalau dia duduk di rumah lah, dia hanya berkain sarung sahaja. Ada sekali, papa berkain pelikat dan berbaju-t putih, kemudian datang Pak Anjang memakai baju-t putih dan kain pelikat juga. Sepupu saya, Anwar yang masih kecil ketika itu, juga dipakaikan baju-t putih dan kain pelikat! Mereka semua masukkan hujung baju-t ke dalam kain pelikat (tuck in lah). Kemas bukan? Ini cara lelaki-lelaki keluarga kami berkain pelikat.

Tapi Papa tak dapat menyertai perbarisan itu. Tempatnya telah diambil alih oleh seorang Tan Sri. Dengar khabar, Tan Sri ini memang hebat orangnya, banyak jasa yang telah dicurah. Tak mengapalah. Tak ada rezeki. Mungkin Tan Sri itu lebih layak disebabkan jasanya. Lagipun Papa saya ahli biasa sahaja. Memanglah dia dulu Ketua Cawangan UMNO dan semua mesyuarat UMNO dibuat di halaman rumah kami, dan ahli keluarga kami sebagai tuan rumah kenalah menyediakan hidangan untuk mesyuarat itu (stress tau, Papa arah buat itu ini padahal tak payah pun pasal kita semua tau nak buat apa). Tapi yalah, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan jasa Tan Sri itu.

Tapi yang membakar hati kami semua adalah cara Papa dilayan. Dia tidak diberitahu langsung mengenai namanya yang digugurkan. Puas Papa menunggu kepastian mengenai program itu, tetapi mereka tidak memberitahu. Akhirnya Papa pergi ke pejabat itu, dan di situlah dia diberitahu bahawa namanya telah digugurkan. Papa adalah seorang lelaki budiman, dia tidak suka marah-marah atau menjerit (kecuali kepada kami cucu-cucu dan ahli keluarganya sahaja). Saya boleh agak ketika itu mesti dia rasa hampa sekali. Sebelum dia pergi, dia hanya berkata, 'inilah politik dan inilah cara orang atasan menindas orang bawahan.'

Nah. Digugurkan nama satu hal. Tetapi tidak diberitahu dan dibiarkan ternanti-nanti, itu namanya kurang ajar.

Secara peribadi, saya tak peduli pasal perarakan sambutan hari kemerdekaan. Saya tak peduli pasal UMNO yang makin lama makin tidak meyakinkan, walaupun saya telah dibesarkan dalam keluarga UMNO.

Tapi ia bermakna buat Papa. Dan sebab itu juga, ia menjadi bermakna buat saya (kalau bukan sebab Papa, jangan harap!).

Papa saya mungkin tidak sehebat Bapa Kemerdekaan atau Bapa Pembangunan, dia tidak pernah membuat keputusan yang melibatkan hal-hal kenegaraan. Dia tidak berulang-alik KL-London untuk membincangkan kemerdekaan. Dia juga tidak terlibat dalam urusan-urusan pembangunan negara di peringkat atasan.

Papa hanyalah seorang ahli UMNO peringkat akar umbi (grassroot) yang kami tak pernah nafikan dedikasinya terhadap parti. Dia memang ikhlas berjuang. Kini baru saya sedar saya dibesarkan dalam rumah yang lebih merupakan bilik gerakan UMNO. Ketika kanak-kanak lain mungkin terlihat Persidangan Agung UMNO di kaca TV, saya ketika itu berada dalam dewan PWTC mengikuti persidangan secara terus, walau pun saya haram tak faham apa yang orang-orang dewasa itu bincangkan.

Dan walaupun Papa mungkin kelihatan sebagai seorang tua yang sudah makan terlalu banyak asam dan garam kehidupan, namun dia masih idealistik kalau menyentuh hal UMNO.

Kita tidak minta wang ringgit atau pingat-pingat kebesaran. Kita tidak minta pengiktirafan atau anugerah-anugerah. Yang kita minta cuma sedikit rasa hormat dan rasa sensitiviti terhadap perasaan seorang ahli veteran parti. Ya, mungkin dia hanya seorang ahli bawahan, tapi ia tidak bermakna ketulusan dan ketaatannya terhadap parti tidak setanding Ahli Majlis Tertinggi. Hmm, bila difikirkan kembali, mungkin ketulusan dan ketaatan Papa sebenarnya jauh melebihi mereka.

Bukankah rasa hormat sesama sendiri dan sensitiviti terhadap perasaan itu petanda masyarakat maju? Bukankah ketelusan dan rasa kebertanggungjawaban (transparency and accountability) itu petanda negara maju? Dahlah kita ini orang timur, Melayu pula tu. Bukankah Melayu itu lemah lembut dalam tindak-tanduk dan halus dalam berbahasa? Saya Melayu baru, atau pun 'towering Malay' kalau ikut UMNO punya rebranding, jadi saya tak tertakluk kepada tafsiran Melayu di atas. Tapi bila difikirkan kembali, mungkinkah sebenarnya maksud Melayu Baru dan 'Towering Malay' itu sebenarnya Melayu kurang ajar?

Oh, tahniah kepada Pakcik saya Si Peguam kerana telefon kolonel RELA itu demi mempertahankan maruah Papa. Akhirnya mereka bertekak. (Katanya si kolonel beberapa kali menyebut perkataan 'bodoh', kalau orang yang mempunyai kemahiran diplomatik beginilah yang dilantik ke jawatan penting dalam RELA, patutlah banyak sungguh aduan terhadap RELA sejak kebelakangan ini. Macam samseng.)

Dan kepada Acik, ya, mungkin gelaran kolonel itu sebenarnya KFC yang bagi. (punchline baeeek punya, hehe!)

Jadi, apa yang saya nak sambutkan ini?

Entah.

50 tahun merdeka dan 44 tahun sejak penubuhan Malaysia, mengapa saya rasa kita seolah-olah bergerak ke belakang?

Tanah kita kaya dengan khazanah dan ia tidak pernah lepas dari genggaman demi genggaman Kuasa Penjajah yang merompak dan memperkosa hasil pribumi kita. Tapi dulu musuh itu jelas siapa. Kerana mereka adalah Orang Lain. Dan kita bersatu padu mengusir mereka.

Tapi kini rompakan dan perkosaan diteruskan juga. Bezanya, kali ini susah nak lihat musuh itu siapa. Kerana rupa mereka sama seperti saya, awak, dan mereka. Dan kerana mereka adalah orang kita sendiri, maka ia adalah berganda-ganda lebih menjengkelkan daripada dijajah oleh Orang Lain. Jika cadangan Ketua Penerangan UMNO iaitu pengkhianat-pengkhianat negara semua dibuang negara, maka saya rasa hampir 70% (ya saya masih optimis!) pucuk pimpinan UMNO akan dilucutkan kewarganegaraan mereka (termasuklah Ketua Penerangan itu sendiri yang asyik berulang alik ke Australia tapi masih tak reti-reti berbahasa Inggeris).

Saya keliru. Kerana belah yang lagi satu itu pun tidaklah meyakinkan sangat sebenarnya.

Hmm.

Tidak mengapa, biar saya teruskan pemerhatian saya buat masa ini.

Apa-apa pun, selamat Ulang Tahun ke-50 Malaya.

Saya sayang awak.




Isnin, 27 Ogos 2007

Kata Pak Menteri (I)

Kata Pak Menteri itu, ya, yang itu, yang sering membuat penyataan-penyataan yang memperbodohkan Rakyat; ada sesetengah blogger adalah ibarat penyanyi karaoke.

Apa lagi Pak Menteri, marilah menyanyi sekali. Anda juga sedang tenggelam dalam ilusi. Manusia itu lebih dari warna kulit Pak Menteri. Sampaikan lagu itu kepada anda punya parti.

Kalau tak mau menyanyi secara beramai-ramai, nah di pusat-pusat membeli-belah ada kotak-kotak karaoke peribadi. (Nak tau lebih lanjut, hubungi rakan saya si GM, he he).

Marilah.

Rabu, 22 Ogos 2007

Tajuk Blog (rujuk di atas)

Oh, mungkin kerana teruja dengan blog baru saya ini, saya telah mengambil langkah tambahan iaitu mengubah tajuk blog saya supaya ia adalah terjemahan langsung dari blog saya yang berbahasa Inggeris. Mengapa tidak, blog ini bukanlah mengenai Bahasa Melayu (saya tidak sanggup memikul tanggungjawab seberat itu di alam maya ini) tetapi adalah penyataan atau dalam perkataan Inggeris yang diMelayukan, manifestasi diri saya tetapi dalam bahasa ibunda saya.

Sila komen kalau anda ada sebarang cadangan yang akan membuatkan ia kedengaran lebih menarik atau merdu atau kedua-duanya sekali.

Rujuk di atas.

Cubaan Pertama

Seperti yang anda lihat dalam ruang komentar dalam catatan (catatan menurut fazilahg dan bukannya kemasukan) di bawah, saya mempunyai masalah untuk menulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. Saya mendapati bahawa saya memerlukan lebih masa untuk menulis jika dibandingkan dengan Bahasa Penjajah, oops, maksud saya Bahasa Inggeris, kkk*.

Tetapi saya berazam untuk memasukkan sekurang-kurangnya satu catatan sempena sambutan Kemerdekaan pada minggu hadapan. Catatan ini saya harap dapat menyampaikan rasa cinta saya kepada TanahBoleh walaupun ia mungkin sarat dengan kritikan.

Saya perlu kembali menghadap lukisan saya. Selamat malam!


*kkk = ketawa kuat-kuat. Terjemahan dari lol = laugh out loud. Bila difikirkan kembali, ayat yang membuatkan saya menulis kkk itu tiadalah kelakar mana.


Selasa, 21 Ogos 2007